1 maut, 2 parah dalam serangan tikam di barat Sydney

Seorang maut dan dua lagi dimasukkan ke hospital akibat cedera parah susulan serangan tikaman di barat Sydney pada pagi Selasa, menurut berita Xinhua.

Pasukan polis di negeri New South Wales (NSW) Australia dilapor berkata, perkhidmatan kecemasan bertindak balas terhadap kejadian tikaman di jalan utama di pinggir bandar Merrylands, 20 km barat pusat Sydney, sekitar jam 10 pagi waktu tempatan pada Selasa.

Pegawai polis tiba di tempat kejadian dan diberitahu seorang lelaki telah menikam beberapa orang sebelum meninggalkan kawasan itu dengan berjalan kaki.

Tiga mangsa yang parah telah dirawat oleh paramedik ambulans, tetapi seorang meninggal dunia di tempat kejadian. Dua yang lain dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal.

Dilaporkan seorang lelaki telah ditangkap susulan pencarian besar-besaran.